Pages

agoda.com INT Lazada MY

Tragedi Orang Melayu di PRU 13

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Tuhan semesta alam.  Akhirnya hidup ini dapat diteruskan tanpa caci maki, umpat dan fitnah. Yang selalunya terbit dari media sosial seperti FB dan twitter.  Bukan kesemuanya terhindar dari semua unsur negatif tersebut.  Ianya masih berleluasa cumanya dalam keadaan yang tidak jelas zahirnya.  
 
Rakyat Malaysia sudah selesai mengundi.  Mengundi untuk kesekian kalinya untuk memilih kerajaan.  Pelbagai sentimen yang dimainkan oleh semua pihak.  Manifesto dan janji ditabur untuk memenangi undi rakyat.  Detik 6 Mei 2013 menyaksikan Barisan Nasional berjaya mengekalkan penguasaan dalam dewan parlimen dan rakyat.  Ini bermakna majoriti rakyat Malaysia ingin kerajaan yang ada sekarang mengekalkan agenda transformasi yang dipelopori oleh Perdana Menteri kita.
 
Perdana Menteri kita?  Mungkin ada yang tidak bergitu setuju dan tidak mengiktiraf Dato Sri Najib bin Abd Razak sebagai PM.  Itu hak anda.  Tetapi keputusan majoriti rakyat Malaysia inginkan lagi, dan dahagakan transformasi yang ingin dijana oleh beliau.  Jika anda tidak bersetuju pun, sabar dan tunggulah Pilihan Raya ke 14 nanti untuk tunjukkan siapa pemimpin pilihan anda. 
 
Berbalik kepada tajuk entri.  Aku ingin kongsikan pendapat dan rasa sedih aku terhadap kelakuan bangsa aku sendiri.  Bangsa yang terkenal dengan sifat lemah lembut dan sopan santun.  Semacam ada sesuatu yang membezakan kita sebenarnya walaupun kita majoritinya beragama Islam.  Disebabkan agama Islam lah kita ini bersaudara.  Kerana Iman dan Islam kita sepatutnya berganding bahu membantu sesama kita dalam konteks yang lebih konkrit dan dinamik.
 
Berikut adalah pengamatan aku yang menyebabkan aku rasa jelek dengan amalan politik demokrasi orang Melayu:
 
1.  Penyokong parti mengandaikan Allah hanya memihak kepada parti mereka sahaja.  Mengandaikan hanya mereka yang betul dan terus-terusan melabel parti yang satu lagi tidak Islamik tetapi sekular.
 
- Dalam Islam sendiri kita diajak untuk berunding sekiranya terdapat perbezaan pendapat baik dari segi agama mahupun masalah kehidupan seharian.  Jangan la kita menganggap bahawa Allah hanya menyebelahi sebelah pihak sahaja hanya kerana anda menyokong parti Islam.  Ya, memang parti anda terang-terangan ada perkataan Islam di situ tetapi tidak bermakna yang parti satu lagi ini tidak Islamik.  Darjat manusia disisi Allah adalah berdasarkan tahap taqwa bukannya parti mana yang anda sokong.  Apabila pemimpin disebelah sana tidak menampakkan Islamik seperti keupayaan memimpin penyokong berdoa atau bertaaruf, kita tidak berhak mengatakan dia daif dalam hal Islam sedangkan beliaulah yang berusaha memberikan suasanan kondusif untuk syiar Islam terpelihara dan berkembang.  Aku faham perkembangan itu mungkin tidak meluas seperti sesetengah penyokong parti islam impikan.  Tapi ia masih tidak boleh menjustifikasikan parti yang memerintah tidak Islam.  Ingat, mereka juga berusaha ke arah kebaikan syiar Islam.
 
- Jadi tidak usahlah kalian meletakkan status di FB seolah-olah Allah hanya di pihak anda.  Allah itu maha kuasa.  Jika Allah berkehendakkan sesuatu pasti ianya akan berlaku.  Tetapi, parti yang dituduh tidak Islamik itu jugalah yang masih dipilih dan dikekalkan oleh rakyat.  Pasti ada hikmahnya.  Pasti Allah lebih tahu niat dalam hati pemimpin parti berkenaan.  Adakah mereka sudah berubah 100%?  Mungkin Ya dan mungkin Tidak.  Tapi kelakuan kita sebagai umat Melayu Islam yang meluahkan perasaan pada FB seperti seolah-olah Allah dipihak sebelah sana amat menyedihkan, menjelekan dan memalukan.  Jika hendak menyedapkan hati sekalian pun tidak perlu sampai ke tahap sebegitu.  Kadang kala Allah hendak tunjukkan kepada kita semua siapa yang lebih baik di kalangan kita, kita berdoa dan bertahajud.  Tapi kita mengungkit semua itu.  Adakah kita benar-benar tahu yang parti satu lagi itu tidak pernah berdoa dan bertahajud?  Kalau pun tidak, adakah semua penyokongnya sebegitu? Entah-entah penyokongnya berdoa dan bertahajud bersama pemimpin parti Islam tapi mendoakan yang sebaliknya.  Mungkin.
 
2.   Sikap extremis yang keterlaluan dan melampau.
 
-  Tragedi Flashmob di Ipoh adalah salah satu contoh.  Disebelah pihak mengatakan yang insiden itu berpunca daripada penyokong UMNO.  Sehinggakan ada rakaman yang menunjukkan penyokong UMNO memukul penyokong PR dengan kayu bendera dan helmet.  Tapi tidakkah kita sedar yang provokasi yang dimulakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab membiakkan rasa dendam dan sakit hati dikalangan orang Melayu.  Tidakkah kita malu.  Lalu di sebarkan ke media sosial akan insiden tersebut.  Habis satu Malaya sudah tahu 'kejahatan' penyokong UMNO.  Benarkah? Siapa yang mulakan dahulu bukan persoalannya. Tetapi kerapuhan kematangan minda kita yang terlalu beremosi menyebabkan kita bergaduh sesama sendiri.  Siapakah yang untung?  Yang kalah jadi abu, yang menang jadi bara.  Buanglah yang keruh dan ambil yang jernih.  Itulah sebabnya,  kita jadi sakit hati dengan sesuatu puak disebabkan kecelaruan informasi dan pendekatan yang digunakan melampau.  Pada aku insiden ini merupakan tragedi Orang Melayu yang sepatutnya lebih matang dan tidak bertindak dengan terburu-buru.  Baik dari penyokong PR mahupun UMNO.  Berjabat sahaja tangan dan mohon maaf sesama kita.
 
3.  Umpat dan Fitnah yang berleluasa.
 
- Terus-terusan berkongsi dosa fitnah di media sosial.  Maklumat tidaklah betul dan sahih, terus-terusan meng'share' kan tanpa peduli kredibiliti maklumat itu.  Satu contoh adalah penyebaran kad pengenalan yang namanya cina tetapi rupanya seperti India.  Langsung dikatakan pengundi hantu dan SPR serta JPN terlibat dalam konspirasi.  Setelah diselidik, rupanya orang tersebut adalah lahir dari ibu berbangsa India dengan ayah berbangsa Cina.  Tidakkah ini memalukan kita?  Menyebar berita tanpa usul periksa.  Taksub dengan maklumat yang mengatakan SPR tidak telus.  
 
- Jika kita berbual tentang sesuatu perkara buruk dan ianya betul maka ia dinamakan umpatan manakala jika tidak betul ianya adalah fitnah.  Dan kedua-duanya penyebab dosa sahaja.  Dan fitnah itu lebih bahaya daripada membunuh.  Tolonglah sedar wahai Melayu Islam.  Banyaknya dosa kita dalam pilihan raya ke 13 ini.  
 
4.  Sikap tidak mahu terima kekalahan.
 
-  Prejudis dengan keputusan lantas secara sarkastiknya mengucapkan tahniah kepada parti yang dipilih seperti ;
 
'Okay, let fill ur pocket with money, Gud Luck BN'
'Tahniah, lepas ni boleh semua rakyat merasa kenaikan harga barang'
'Dah menangkan, cepatlah turunkan harga kereta'
 
- Sangatlah tidak matang bila kita mengucapkan sesuatu sebegini.  Walaupun kalah itu pahit dan tidak dapat diterima.  Cubalah ucapkan tahniah itu dengan lebih ikhlas.  Kan ianya lebih manis barulah menunjukkan yang anda kalah cara terhormat seperti yang kalian katakan.  Ini tidak pun terjadi, terus mengkritik tidak kena tempat.  Sikap sebegini hanya menunjukkan yang kalian adalah fanatik dan tidak boleh menerima kenyataan yang majoriti tidak menyokong perjuangan parti anda.  Itu saja.  Anda sanggup mengatakan yang adanya undi hantu seperti di Lembah Pantai dan Pandan yang dimenangi calon PR.  Adakah pengundi hantu tu yang memenangkan calon tersebut?? Putar belit pengundi hantu ini masih jadi tanda tanya.  Entah-entah pengundi hantu Bangladesh tu memangkah PR.  Siapa tahu? Tapi hujah ini adalah lemah dan dangkal.  Maka tak usahlah fanatik sangat.
 
5.   Tidak berbaik semula amalan hina.
 
-  Pilihan raya 13 sudah pun tamat, banyak yang perlu dilakukan oleh Orang Melayu khususnya.  Biarlah kita bergaduh tentang isu-isu nak memandaikan anak bangsa.  Belajarlah dari kesilapan masing-masing.  Manusia tidak terlepas dari kesilapan.  Kedua-duanya ada kelemahan.  Maka berbaikla semula mengikut lunas Islam.  Bergaduh sampai mati pun takkan habis.  
 
- Contohilah pertandingan di Parlimen Putrajaya.  Akhirnya kedua-dua penyokong dapat mengambil gambar bersama.  Bukan ke molek macam ni?
 
Sehingga berjumpa lagi di GE ke 14. InsyaAllah. Dan jangan biarkan sikap diatas menjadi parah yang akhirnya mengundang tragedi kemusnahan sifat bangsa Melayu.  
 
p/s:  Ini adalah pendapat peribadi admin sahaja.

2 comments:

  1. macam2 hal dah berlaku sebelum PRU13..
    #Ubah #IniKaliLah

    ReplyDelete
  2. Pilihan sentiasa d tangan kita. jika PR istiqamah dan sentiasa mengingatkan pengikut supaya tidak keterlaluan pasti keadaan sedikit berbeza

    ReplyDelete