Pages

agoda.com INT TinyDeal INT Aliexpress INT TinyDeal INT Booking.com INT Lazada MY

Masih Mencari dan Terus Tercari

Assalammualaikum w.b.t dan Salam Ramadan yang ke 16 hari ini.


Hati ini tiba-tiba rasa sayu.  Tidak pasti apakah sebab utama.  Tapi fikiran asyik memainkan sebab utama kesayuan itu adalah tempoh Ramadan bersama kita semakin akhir.  Lihat sahaja wajah bulan di malam pertengahan Ramadan ini.  Terang cantik dan bersinar.  Malam Ramadan yang penuh berkat, tiada cacat celanya.  Namun, Allah masih berikan kita peluang untuk mencari malam keramat yang sangat hebat iaitu Malam LailatulQadar.

Allah S.W.T

Sepanjang 30 tahun aku hidup dan bernafas di muka bumi ini, masih belum menemui tanda-tanda hebat yang dikatakan penanda malam LailatulQadar.  Walaupun aku tahu mungkin sebab iman yang masih lemah, maka pemerhatian aku terhadap setiap tanda pencipta masih dihijabkan.  Berilah aku peluang itu wahai Tuhan.  Aku teringin benar melihat makhluk ciptaanmu sujud di malam yang dijanjikan rahmat dan barakah.  Pernah merasai kehinginan Subuh yang mencengkam jiwa, sejuknya menusuk ke tulang dan hati menjadi sayu dan hiba.  Terasa hina disisi Allah S.W.T.   Jujur, aku kerap merasai perasan itu di bulan-bulan Ramadan yang lalu.  Terutamanya Subuh.  Ketika mana perjalanan kaki ke Surau memaksa aku menempuhi sejuk dingin yang segar dan damai.  Itu dulu.  Satu perasaan yang sangat aku rindu. Aku bahagia dengan perasaan itu.  Itu adalah cerita ketika aku berumur 16 tahun.

Kini, jarang merasainya.  Mungkin sebab Subuh yang aku kerjakan berseorangan.  Maka tiadalah petunjuk darinya.  Alangkah ralat rasa hati. Sungguh.  Ketika aku di Lumut, aku tinggal di kuarters hospital yang agak jauh dari masjid dan surau.  Sangat liat hendak melangkah ke sana.  Boleh dikatakan hanya solat Jumaat sahaja aku jejakkan kaki aku ke Masjid.  Pernah dalam banyak doa aku kepada Allah S.W.T yang aku inginkan rumah yang dekat dengan rumahNYA.  Aku benar-benar impikannya.

Aku leka dalam lena buaian indah kesibukan dunia.  Dunia yang fana. Dalam kesungguhan memiliki dunia, aku terlupa Allah S.W.T mengabulkan doa yang satu itu.  Dia cuba memberikan kesibukan kepada aku, seolah-olah cuba memesongkan pemerhatian aku. Aku faham. Aku sedar Dia sedang menunjukkan kekuasaanNYA.  Betul, rumah aku kini hanya 50 langkah ke Surau.  MasyaAllah, hebat sungguh.  Peluang telah diberikan. Doa sudah dimakbulkan.  Manusia masih tetap manusia.  Sungguhpun sudah ada apa yang dihajati.  Hati masih degil lunaskan niat yang asal.  Degil kotakan 'janji' pada diri sendiri.  Sombongnya kau Mohamad Halif bin Mohamad Yusof! 

Dalam peluang yang ada itu, aku sombong dengan mengimarahkan Masjid Putra yang tersergam indah.  Aku lupa untuk hidupkan surau yang menjadi nadi kariah aku.  Aku keliru sebenarnya.  Aku sukakan Masjid Putra.  Aku kagum dengan masjid itu. Itu belum lagi aku katakan yang disitu ada elemen nostalgia dengan arwah ayah aku.  Tidak keterlaluan aku katakan aku bangga dapat bersembahyang di dua masjid utama di sini.  Aku berperang dengan perasaan hati.  Berperang dengan matlamat dan rasa hebat yang boleh dirasai dengan berada di masjid tersebut.  Adakah aku ke sana hanya untuk merasai 'kehadiran' arwah ayah aku yang buatkan aku damai. Bukan untuk mencari damai dari rahmat dariNYA.  Keliru. Arghhh....bukan begitu.  Adakah aku masih tidak boleh lepaskan kenangan arwah ayah dari aku.  Aku lemah.  Bagaimana aku hendak lepaskan sedangkan semakin lama semakin dekat dirasai.  Sudahlah peluang mengerjakan haji ke Baitullah tahun ini adalah 'ihsan' arwah ayah. Dalam adik beradik aku, hanya aku seorang sahaja yang masih belum menjejakkan kaki ke Baitullah.  

Arwah ayah Alhamdulillah sudah 2 kali dipanggil mengerjakan haji.  Ibu  dan adik adik beradik aku sudah merasai nikmat Umrah.  Aku sahaja yang masih tercari-cari makna hidup dan hala tuju.  Sehinggakan arwah ayah meninggal baru aku diangkat ke sana.  Itupun dengan rasa 'terpaksa'.  Wasiat. Hajat terakhir.  Aku terperangkap dengan prinsip hidup aku yang paling utama.  Prinsip hidup aku hanya satu. Iaitu jaga hati ibu.  Permohonan ibu untuk aku menemaninya atas dasar 'tiket' arwah ayah benar-benar buatkan aku buntu pada awalnya. Aku risau yang nanti niat aku ke sana hanya untuk itu.  Aku juga tidak mahu merasakan yang aku ini bukan ke sana semata-mata kerana Allah S.W.T.  Menjawab seruannya yang satu.  Untuk merasai nikmat yang paling agung di tanah penuh rahmat dengan sejarah para anbiya dan rasul-rasul Allah.  Aku terpinga.  Sungguh banyak desakan dada yang perlu aku susun atur agar selari dengan fikiran aku agar aku masih berfikiran waras.  Nikmat ini memang sangat hebat.  Subhanallah.  Ini adalah cabaran yang perlu aku rungkaikan untuk penuhkan syarat untuk kerjakan haji iaitu BERKEMAMPUAN.  Ingatkan maksud berkemampuan itu hanya dari segi kewangan.  Tetapi lebih dari itu.  Kini aku faham.  Walaubagaimana berbezanya perjalanan cerita para jemaah sebelum ke tanah suci, pasti akan diduga.  Dan aku diduga dengan cabaran yang menyesakkan jiwa ini.  Tapi aku masih bersyukur.  Terus bersyukur.  Dapat merasainya.  Mungkin buku panduan haji ini dapat membantu.  Aku tidak pasti.

Aku faham dan akur.  Aku sepatutnya sedar.  Kini aku tahu apa yang perlu aku cari.  Untuk aku adu kepada Pencipta aku, apakah petunjuk yang Dia mahu tunjukkan.  Sedang orang diluar tercari-cari peluang seperti yang aku peroleh. Aku pula rasa terdesak hati dipenuhi nikmat demi nikmat.  Mungkinkah sebab aku selalu beranggapan yang semua yang ada disekeliling aku adalah nikmat.  Maka aku rasakan yang aku kurang mengucapkan syukur.  Subhanallah.  Lagi banyak kita merasai dan akur yang sekeliling kita adalah nikmat, kita akan rasa sangat berhutang dengan Allah S.W.T.  Hutang untuk ucapkan Syukur.  Tidak cukup hanya sekadar zikir Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakbar setiap sesudah solat setiap hari.  Kita dipertanggungjawabkan untuk buat lebih dari itu.   Sesungguhnya aku kerdil.  Kerdil yang teramat sangat. Sungguh.

Makhluk sebaik-baik penciptaan adalah manusia.  Unik.  Kita ada pilihan. Boleh memilih.  Sama ada mahu menjadi lebih baik atau masih di tahap status quo.  Manusia oh manusia. Uniknya kita hanya yang mengkaji tahu, hebatnya kita hanya yang memerhati mengerti, terpilihnya kita hanya yang dipilih pasti.  Sesungguhnya aku masih aku. Masih mencari malam LailatulQadar.  Agar doa aku di-multigandakan sebanyak 1000 bulan.  Seolah-olah aku berdoa perkara yang sama selama itu.  Takkan Allah tidak mendengar.  Mungkin inilah yang dikatakan doa tanpa hijab.  Terus ke arasy. 

Ayuh, untuk sepuluh malam terakhir nanti kita hidupkan malam-malam Ramadan ini.  Agar kita bertemu malam yang penuh janji.  Biarlah kita tidak berpeluang melihat pohon yang sujud, air yang membeku dan cahaya dari langit sebagai tanda, itu bukanlah penting.  Yang penting doa dan amalan kita digandakan dan diangkat oleh para Malaikat yang suci untuk dipersembahkan kepada Allah S.W.T.  InsyaAllah.

p/s:  Aku sangat emosi saat aku titipkan bait-bait entri ini.  Ini seumpama rasa gejolak hati aku yang sebenar walaupun dari segi zahirnya aku nampak tenang.  Sebenarnya aku berperang dari dalam.  Sudah agak lama.  Aku ingin kembalikannya semula kepada Pencipta.  Untuk aku tahu apa langkah yang seterusnya yang perlu aku pilih.

p/p/s : Semoga kalian juga berjaya menawan 'kisah' dari dalam lubuk hati kalian. Dimurahkan rezeki dan kesejahteraan sentiasa.

p/p/p/s : Aku tak bisa minta pandangan dari kalian tentang apakah yang akan kalian buat sebab setiap dari kita ada 'kisah' tersendiri.  Raikan perbezaan. :)

6 comments:

  1. Semoga dipermudahkan perjalanan ke baitullah nanti, insyaAllah

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah..sayu untuk menempuh ramadan yang terkhir, jarang2 akan ada insan yang akan menikmatinya..semoga dapat terus beramal untuk malam 10 terakhir ni..

    ReplyDelete
  3. tula rasa mcm tak sanggup lepaskan ramadhan dgn usia dh matang ni terasa lebih hargai hmmm

    ReplyDelete
  4. Tahniah kerana terpilih untuk menunaikan haji. Ramdhan akan brlalu pergi. Sayu rasa hati ini. Semoga amalan kita semua diterima olehNYA. Mungkinkah masih diberi kesempatan untuk bertemu ramadhan akan datang ???

    ReplyDelete
  5. Biasalah. Bila kanak-kanak rasa tak hargai sebab rasa macam masa panjang, bila dah berusia rasa masa macam cepat saje berlalu..

    ReplyDelete