Pages

agoda.com INT Lazada MY

Dengarlah Bintang Hatiku

Hari-hari berlalu seperti tanpa arah.  Tiada penghentian yang dapat memberhentikan hari-hari ini.  Jauh sebelum ianya berhenti. Sama ada kita tewas dan lelah dengan perjalanan ini ataupun ia terhenti kerana sudah menemui destinasinya.

Kita hamba umpama semut yang hidup di sarangnya.  Bersusah payah membanting tulang mencari rezeki untuk kelangsungan hidup.  Bergolot-golot mendukung guni-guni nikmat untuk perut bekerja sehari-hari.  Sesekali bergesel bahu dengan sahabat yang turut kalut memikirkan kehidupan diri sendiri.  Kadang-kala bertegang leher dan menyinsing lengan mempertahankan kawasan jajahan dan harta yang diperolehi.
Kredit : AHA
Kita, manusia juga seperti itu.  Punya sebab untuk bertindak sebegitu. Dunia kian mendesak.  Hinggakan kita tersedak dan tersesak dengan nafas sendiri.  Seakan hilang nikmat bernafas seketika. Lupa akan apa yang penting dalam diri kita.  Kerjaya, kejayaan, kekayaan dan kemahsyuran? Nikmat yang sebenarnya bertopengkan dugaan. Ada sebabnya Junjungan mulia pernah bersabda tentang kenikmatan yang hakiki yang ertinya;

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi S.A.W bersabda 'Dunia penjara orang Mukmin dan syurga orang kafir' (Riwayat Muslim)

Hmm..melepaskan rasa lelah dalam hati dan fikir.  Kenapa? Keliru?

Berwaspadalah mengendalikan harta.

Daripada Ka'ab bin 'Iyadh r.a., Nabi S.A.W bersabda: 'Sesungguhnya bagi setiap umat terdapat 'fitnah' (kesesatan dan maksiat). Dan fitnah terhadap umatku ialah pada harta'. (Riwayat al-Tirmizi dan Ahmad)

Usah sempitkan dada dan fikir wahai sahabat.  Sabda itu bukan untuk melemahkanmu, membuatkanmu malas mengejar kekayaan dunia. Cumanya hendaklah beringat.  Itu sahaja. Tiada yang lebih dan tiada kurang.  Agar amalan sedekahmu lebih hebat daripada mereka yang jahil dalam ilmu.

'Sedekah yang terbaik adalah yang berlebihan daripada keperluan, dan mulakanlah dengan orang yang dibawah tanggungan engkau' (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kerana sesungguhnya,

'Bersedekah secara sembunyi 'memadam' kemarahan Tuhan' (Riwayat al-Tabrani)

Terawang-awang dan terkenang-kenang sikap jahil aku terhadap mereka yang berdakwah di jalan Allah.  Ditutupnya pintu rapat-rapat ketika mereka hampir mendekati.  Ada juga sempat meluangkan masa 3 hari mendengar tarbiah mereka.  Indah sebenarnya.  Sungguh.  Memuji-muji tuhan yang satu.  Menginsafi kelemahan diri. Dan mengajak manusia mengimarahkan masjid dan surau.  Berat.  Tugas yang begitu berat untuk orang seperti aku yang utamakan dunia.  Pelajaran lebih penting.  Kini seperti tersadung, rupa-rupanya pelajaran tidak pernah terhenti.  Dan pelajaran yang sebenar adalah yang mencari dan mengenali tuhan.

Terkesima.  Terkelu.  Terhiba sebentar.  Apa yang telah aku lalui selama ini sebenarnya?  Ilmu tidak dikemaskini.  Ilmu tidak dicari.  Ilmu dibiar sepi dan menyendiri bersama mereka-mereka yang masih menghargainya.  Hidup inilah guru tarbiah yang sejati.  Berperang dengan hati dan perasaan sendiri sementelah memiliki pilihan dalam diri.  Mahu terus jadi jahilkah? Mahu ambil peluang perbaiki diri?

Oh, indahnya kehidupan mereka yang mendekatkan diri dengan Allah.  Kenapa?  Pasti punya alasan.  Hidup kita hanya kita yang tahu.  Dosa-dosa kita hanya kita dengan tuhan yang lebih mengerti.  Corak sekelilingkah yang membuatkan kita jadi seperti ini?  Begitu mudah kita salahkan orang lain tanpa memandang langsung terhadap diri sendiri.

Ketepikan semua teori-teori yang penuh konspirasi ke arah harapan palsu.  Logik akal yang tak pernah habis dicabar. Itu semua plastik.  Tidak kekal.  Penuh khilaf. Jangan buang masa dengan perkara seperti itu.

Teruskan memerhati dan mencari tanda kekuasaan tuhan agar diri terus sederhana.  InsyaAllah.

2 comments:

  1. Yup..rajin-rajinkahlah bersedekah..bahaya kalau kita merasakan dunia ni ibarat syurga buat kita...kan bro?

    ReplyDelete
  2. Setuju. dunia ini persinggahan sementara sahaja.

    ReplyDelete