Pages

agoda.com INT TinyDeal INT Aliexpress INT TinyDeal INT Booking.com INT Lazada MY

Mencari Damai Dihati, Talbiah Panggilannya

Alhamdulillah.  Segala lafaz syukur hanya untuk Allah S.W.T.  Dialah yang memberi rezeki, Dialah yang memberi nikmat dan sesungguhnya Dialah yang memiliki segala yang ada di bumi dan langit.
Kredit : Juni

Terima panggilan daripada Lembaga Tabung Haji semalam mengatakan surat jadual penerbangan ke Tanah Suci telah diedarkan kepada bakal jemaah Haji untuk musim 1434H pada 7 Ogos yang lalu.  Terima pula panggilan daripada ibu di kampung yang teruja kerana terima surat tersebut.  Syukur Ya Allah.  Inilah saat yang dinanti-nanti oleh ibu.  Gembira mendengar dia gembira.  Sebagai seorang anak lelaki, tiada apa yang lebih membebaskan sesak lelah dan resah hati selain mendengar suara ibu gembira yang betul-betul jujur.  Aku cuma tersenyum sinis.  Terus terawang-awang memikirkan betapa banyaknya ibu berdoa agar aku turut serta bersamanya mengerjakan ibadah rukun islam yang ke 5 ini.

Walaupun perasaan dalam hati aku berbaur, namun hadis yang satu ini mententeramkan jiwa yang perlukan lebih banyak bimbingan ini.  Sungguh, iman itu tidak boleh diwarisi.  Walaupun arwah ayah seorang warak, namun aku rasa aku agak ketinggalan dari segi itu walaupun duniawinya aku lagi berjaya dari arwah.  Allah sekali lagi menunjukkan kekuasaannya.  Jika kita mahukan pengampunanNya dan keredhaanNya, kita perlu ikhtiar sendiri. Benar, aku rasakan kosong jiwa ini selepas pemergian arwah dan selalu berfikir bagaimana untuk mengisinya. Subhanallah.

Daripada Jahimah al-Sulami, beliau datang menemui Rasulullah S.A.W lalu berkata: 'Wahai Rasulullah!, Saya ingin berperang, dan saya datang untuk berbincang'. Rasulullah bertanya: 'Adakah engkau mempunyai ibu?' Beliau menjawab: 'Ya' Rasulullah bersabda: 'Dampingilah dia, sesungguhnya syurga terletak di kedua kakinya.' (Riwayat al-Hakim)

Dan itulah tujuan hidup, untuk ke syurga. Aku anggap panggilan Ilahi ini suatu nikmat dan dugaan yang diwujudkan untuk mentarbiah diri ini menjadi lebih baik.  Aku kagum dengan Prof Muhd Kamil yang mencoretkan pengalamannya ketika mengerjakan haji dalam bukunya yang popular iaitu Travelog Haji.  Walaupun aku beli edisi jimat, namun intipati daripadanya aku rasa cukup untuk berasa damai setidak-tidaknya untuk seketika.  Kerana jauh dilubuk hati aku, aku risaukan isteri dan anak-anak sepanjang peninggalanku ke sana.  Sungguh, jangan tanya aku yang mana lagi aku sayang, ibu atau isteri dan anak-anak?  Ia sesuatu yang sangat sukar untuk aku jawab.  Terbatasan cinta terhadap manusia ada hikmahnya. Kedua-duanya aku sayang dan kasih.  Namun, kasih dan sayang yang sejati hanya untuk Yang Maha Pencipta, Allah S.W.T.  Aku perlu menyahut kembali panggilanNYA.  Apa yang terjadi yang memungkinkan aku ke Baitullah hanyalah asbab untuk kembali kepadaNYA.

Sesuai dengan makna Talbiah.

Kredit : Risely
Tetamu Allah S.W.T

Daripada Jabir bin Abdullah r.a, Rasulullah S.A.W bersabda: 'Orang yang menunaikan haji dan orang yang menunaikan umrah adalah undangan Allah. Allah menyeru mereka lalu mereka menyahut seruan itu.  Mereka meminta daripada Allah lalu Allah memberikan kepada mereka' (Riwayat al-Bazzar)

Begitulah.  Kadang kala hidup ini ada pasang surutnya.  Bilamana Dia berkehendakkan sesuatu, maka jadilah ia.  Aku hamba yang kerdil dan tiada kuasa.  Tiada kuasa untuk menolak. Tiada kuasa untuk menerima jika bukan atas kehendakNYA.

Jadikanlah haji ini sesuatu yang dapat mentarbiahkan diri ini.

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi S.A.W bersabda: 'Siapa yang menunaikan haji, dan dalam masa itu ia tidak bercakap kotor dan tidak melakukan kejahatan; nescaya ia pulang seperti pada hari ibunya melahirkannya (suci daripada dosa)'. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sungguh.  Aku berdosa.  Yang Allah, begitu banyak kelemahan aku, daripada hati, iman dan islamku.  Berikanku hidayah, berikanku panduan, berikanku petunjuk.  Sesungguhnya aku tiada makna tanpamu.  Aku juga memohon agar semua pekerjaan duniawi aku dipermudahkan dengan keizinanmu. Sungguh aku tak mampu untuk harungi semua perasaan dan dugaan tanpa bantuan dan petunjuk darimu. Terimalah niat aku, terimalah doa aku dan terimalah pekerjaan ibadah aku yang lepas, kini dan akan datang.  Tiada tuhan yang aku sembah melainkanmu dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruhmu.

p/s : InsyaAllah 7 Sept 2013 (1 Zulkaedah 1434) berlepas. InsyaAllah. Doakanku.  Akan aku coretkan pengalaman aku sebelum, semasa dan selepas ke sana untuk kebaikan bersama.  Terasa aku sudah menemui jiwa blog ini.

8 comments:

  1. Alhamdulillah semoga perjalanan dan urusan bro menjadi tetamunya dipermudahkan, insyaAllah.

    ReplyDelete
  2. Syukur dan tahniah. Moga Allah permudahkan segala urusan sekarang sehinggalah selesai semuanya dengan selamat.

    ReplyDelete
  3. @Hidupringkas. Terima kasih. Ini adalah dugaan sebenarnya

    ReplyDelete
  4. Mak...maafkan saya atas segala duka yang telah saya tinggalkan..emm untung bro dan mak tu..semoga dipermudahkan segalanya..saya pun daftar sekali ngn mak ayah juga..cuma masanya belum tiba..lambat atau cepat, tak pasti..emm

    ReplyDelete
  5. Alhamdulillah. semoga di mudahkan. insyaAllah

    ReplyDelete