Pages

agoda.com INT Lazada MY

Dugaan Pasca Haji

Jujur.

Setelah apa yang berlaku, baru aku sedar yang untuk mempertahankan sesuatu kebaikan itu lebih sukar daripada mencapainya.  Sungguh.  Adakah ini dugaan yang telah dinaikkan lagi tahap kesukarannya setelah nikmat beribadah di Baitullah telah dikecapi.  Haji Mabrur?  Pertanyaan yang sering diselebungi dengan pelbagai persoalan, cara dan cabaran.


Beza.

Di sana mudah.  Segalanya mudah.  Tiada perasaan untuk rasa malu, tiada rasa untuk takut dengan tafsiran orang dan tiada rasa beban.  Ya, beban.  Itu yang membezakannya.  Di sini kembali terhimpit dengan desakan waktu, kembali mengikuti arus duniawi, kembali dihentam dengan sinis dan persepsi yang tidak jemu memerli.  Kerana apa?  Hanya gelaran Haji itu sahaja.  Nikmat yang tidak boleh terbanding.

Sudahlah, apa yang kau nampak di sana itu semua Wahabi.  Wahabi yang kononnya tidak pernah melakukan perkara bida'ah.  Dilema sejenak.  Tidak pernah pula aku terfikir tentang perkara ini.  Tidak pernah pula aku membezakan fahaman muslim sebelum ini.  Tidak pernah pula aku ambil tahu. Namun, semua sedikit berubah.  Bisa sahaja untuk aku tak ambil pusing akan hal ini.  Tetapi bolehkah aku setelah semua pengalaman dan ilmu yang diperolehi di sana telah diterima?  Apakah pendirian aku.

Fahaman Wahabi, Syiah dan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Perlu lebih teliti untuk kupas isu berat ini.  Kalau aku tanyakan kepada kamu semua yang sedang baca ini apakah pegangan agama kamu?  Apakah jawapan kamu? ASWJ? Syiah? Wahabi?  Sudah tentu ramai yang akan menolak Syiah kerana terang-terangan melanggar peraturan syariat Islam.  Namun antara Wahabi dan ASWJ, ramai yang terkeliru.  Ramai yang beranggapan Wahabi itulah sebenar-benar sunnah Nabi Muhammad S.A.W.  Tetapi pengikut ASWJ pula yang paling ramai pengikutnya.

ASWJ ini adalah mazhab daripada 4 imam besar. Wahabi? Entahlah. Ibnu Tammiyah?

Teringat salah satu hadis Nabi Muhammad S.A.W bahawa di akhir zaman nanti di dalam Islam itu sendiri akan berpecah-pecah.  Maka ikutlah jemaah yang paling ramai kerana ia adalah sebenar-benar pengikut ajaran Islam.  Ah, lantaklah.. Jangan pedulikan isu ini.  Isu yang tiada penghujungnya.  Benarkah begitu?  Atau isu ini hanya akan terhapus bila sampai masanya turun Nabi Isa a.s dan Imam Mahadi?  Pada aku, ini isu yang berat dan harus diteliti dengan berhati-hati.  Sebabkan isu ini ramai yang mengkafirkan sesama sendiri sedangkan diri mengaku Muslim.

Kesian sungguh umat Islam sekarang.  Tak perlu nak pening kepala memikirkan ancaman agama lain kepada kita, hal pergolakkan dalaman Islam sendiri pun sudah banyak dan komplikated untuk diselesaikan.  Benarlah kata Nabi Muhammad S.A.W yang diakhir zaman ini akan banyak fitnah. Fitnah yang kita anggap benar dan sahih sedangkan sebenarnya tidak.  Tapi apakan daya kita untuk mengetahui itu adalah fitnah atau sebaliknya. Aku dan kamu dalam gelap sekarang.  Gelap gelita. Syaitan menghasut. ' Ah, itu semua tak penting, jom kembali kepada fitrah manusia yang lalai'.

Cis. Roh melawan.  'Aku perlukan cahaya.  Tidak kisah cahaya apa, hidayah atau apa jenis pun. Janji cahaya'.

Ilmu itu ibarat cahaya yang menerangi kita diwaktu gelap.  Kata bijak pandai dahulu.  Jom belajar lagi.  Belajar agamamu ini. Ya, mendalami Islam tidak akan pernah putus. Sampai mati. Sebab kita ini mudah lupa.  Kita ini insan.  Kata akar insan dalam bahasa arab yang bermaksud lupa.  Sering alpa. Tapi otak aku dah berkarat.  Tak lalu nak membaca kitab-kitab tauhid, fekah dan akhlak.  Nak melangkah ke majlis ilmu pun dah berat.  Namun, kalau ke acara-acara hiburan dan lara ringan sahaja kaki ini.  Dugaan-dugaan.

Inilah dilema.  Kekalutan yang melanda umat Islam. Kepeningan yang sebenarnya ada cara penyelesaiannya. Cuma penyelesaian ini perlukan pengorbanan masa, wang ringgit dan perasaan.  Jika benar ini menghapuskan perasaan ini, bertalaqqi lah, berusrahlah, carilah tuan guru yang ada sanadnya. InsyaAllah, kita boleh bertemu dengan cahaya hidayah yang sejati.  Berapa ramai yang memahami surah Al-Fatihah yang dibaca setiap hati.

Bukankah ada doa untuk tunjukkan jalan yang lurus kepada kita?  Yang selepas tamat surahnya, kita mengaminkan memohon Allah perkenankan doa tersebut.  Wahai diri aku, ketahuilah, bersedialah untuk mengalami gejolak perasaan ini.  Semoga Allah mempermudahkan hidup kita dan membimbing kita ke jalan yang lurus.  InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment