Pages

agoda.com INT Lazada MY

Fadhilat Ziarah Orang Sakit

Musim tengkujuh sudah bermula.  Terengganu, Pahang dan Johor teruk dinaiki air bah.  Banjir sana sini.  Banyak barang kelengkapan rumah musnah.  Banyak dokumen penting hilang dan punah. Atuk dan nenek resah gelisah.  Ayah dan Ibu risau.  Anak-anak kecil ceria kerana tidak mengetahui dan memahami.  Pihak berkuasa pening memikirkan bagaimana hendak membantu mangsa banjir ini.  Jika tidak dibantu nanti dipolemikkan pula.  Karang ada yang kata kera di hutan disusukan, anak dirumah mati kelaparan.  Mangsa Taufan Haiyan cepat pula bantuannya.  Di negara sendiri suam-suam kuku pula.  Di tambah lagi dengan kenaikan harga elektrik.  Mencebik masam muka warga negara Malaysia kini.

Karang nanti ramai pula pos di facebook nasihat Ust Fathi Bari yang mengatakan kena bersabar dengan pemerintah.  Yang pro Biru menyokong, yang Pro Biru Muda pesimis.  Sedangkan kita lihat sendiri kan yang kedua-duanya ada menaikkan gaji wakil rakyat masing-masing.  Diorang senang diatas, kita bergaduh dibawah.  Entah sampai bila la nak habis isu ini.  Isu masyarakat Melayu yang sukakan benda yang kurang faedahnya untuk dibahaskan.  Jika bertekak berserta tindakan konkrit dan cadangan bernas takpe juga. Alih-alih sembang kedai kopi, buang air liur dan penat jemari jadi FB warrior dan entah apa-apa lagi gelaranya di alam maya.

Berhenti sejenak.  Lebih baik kita memikirkan nasib mangsa-mangsa banjir di Malaysia ini dahulu.  Saban tahun perkara ini berlaku. Dah memang boleh jangka.  Tapi ada juga kawasan yang diluar jangkaan.  Mungkin disebabkan masalah pembangunan yang tidak mengikut peraturan undang-undang manusia dan yang paling penting undang-undang Allah.

Maka, disebabkan segelintir yang tamak, akibat dan kesannya dirasai semua pihak.  Semua merana. Yang kaya dan miskin terasa pedihnya.  Sama sahaja.  Ramai di timpa sakit.  Tugas para pengamal perubatan tampak mulia.  Dulu dikecam dengan segala macam kelemahan antaranya perkhidmatan yang lambat, ubat-ubatan yang tidak mencukupi dan sebagainya.  Kini, apa ada janji ada yang membantu.  

Pengalaman diri.

Sewaktu menjadi sukarelawan membantu mangsa banjir di Muar tahun 2007, ramai yang meminta bantuan ubat-ubatan.  Perkhidmatan out reach terpaksa dibuat memandangkan talian perhubungan terputus.  Ramai yang terperangkap di rumah masing-masing.  Kereta dan kenderaan ditenggelami air.  Tidak dapat datang ke hospital untuk refill ubat.  Tetiba sahaja out reach service jadi popular.  Yup, benar.  Itulah keadaan dan situasinya.  Sedih.  Memang sedih bila mengenangkan nasib mereka yang ditimpa bencana ini.  Bahan asas seperti makanan dan air bersih tidak mencukupi.  Penyakit dan wabak cepat merebak.  Pertahanan diri senang goyah. Mudah diserang penyakit. Demam dan selsema menjadi perkara biasa.  Jika ada yang lebih parah, terpaksalah dihantar ke hospital.  Terpaksala menaiki bot Bomba atau RELA.

Banyak sungguh yang kita boleh pelajari dari musibah sebegini.  Waktu inilah mulut-mulut kita dan fikiran kita tidak memikirkan perbezaan politik.  Masing-masing saling bantu membantu.  Bantuan kewangan dan tenaga datang mencurah-curah.  Kita tetiba menjadi empati dan simpati dengan nasib mereka.  Sedangkan baru sekejap tadi kita dibezakan dengan fahaman politik yang tidak pernah akan ada kesudahannya.  Mengapa kita memilih untuk memikirkan sesuatu yang negatif sedangakan kita boleh memikirkan sesuatu yang positif?

Sudahlah.  Tepuk dada tanya selera.

Oh Ya, isi yang tidak ada kena mengena dengan tajuk rupanya.  Sini saya kongsikan tentang fadhilat menziarahi orang sakit.

Dalam satu hadis sahih Ibn Majah dan At Termizi ada tercatat tentang kebaikan melawat mereka yang sakit seperti di bawah:

'Apabila seseorang berjalan untuk melawat saudara Muslimnya yang sedang sakit, dia seolah-olah berjalan di lorong menuju Syurga sehinggalah dia duduk.  Dan apabila dia duduk, dia mendapat rahmat daripada Allah S.W.T.  Jika dia datang (melawat) di sebelah pagi, 70 ribu Malaikat akan berdoa untuknya sehingga petang, dan jika dia datang di sebelah petang, 70 ribu Malaikat akan berdoa untuknya sehingga pagi keesokkannya'

Subhanallah.

Takkan kita taknak makhluk suci seperti Malaikat berdoa untuk kita kan?  Jika ada saudara atau kenalan Muslim kita yang kita kenal atau tidak sedang menderita kesakitan.  Jom kita ziarah. InsyaAllah fadhilatnya kita peroleh.  InsyaAllah.