Pages

agoda.com INT Lazada MY

Tips Elak Marah - Rasulullah S.A.W's ways

Allah S.W.T telah menciptakan manusia dengan memberikan mereka perasaan dan gerak hati ataupun instincts dimana kesemua kurniaan ini dipengaruhi oleh unsur-unsur yang berlaku disekeliling manusia.  Manusia akan berinteraksi dengan apa yang dilihat dan dengar.  Dan manusia acapkali akan melalui fasa dan pengalaman gelak ketawa, tangisan, gembira, sedih, marah dan pelbagai lagi perasaan.


Salah satu perkara yang diajarkan oleh Nabi Muhammad S.A.W ialah untuk mengelakkan diri daripada berasa marah kerana sifat marah ini akan membawa manusia kepada kesan dan akibat yang lebih negatif dikemudian hari.  Di dalam sebuah hadis sahih, Imam Al Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa ada seorang pemuda yang bertanya kepada Rasulullah S.A.W, 'Nasihati aku' lalu Rasulullah S.A.W membalas 'Janganlah engkau marah'.

Pemuda itu kemudiannya mengulangi soalannya beberapa kali namun Rasulullah S.A.W tetap membalasnya dengan jawapan yang sama iaitu 'Janganlah engkau marah'.  Sungguhpun begitu, Rasulullah S.A.W tidak hanya melarang pemuda tadi daripada berperasaan marah malah menerangkan kepadanya cara dan rawatan untuk setiap manusia melakukannya untuk mengurangkan tahap keburukan (severity) amarah manusia dan akibatnya.

Di dalam satu riwayat yang lain,  Rasulullah S.A.W pernah bersabda; 'Jika engkau menjadi marah, maka duduklah'  (Al-Khara'iti fi Masawi' Al Akhlaq, dari Imran Ibn Husain, Sahih).  Imam Ahmad r.a meriwayatkan bahawa Ibn Abbas berkata, Rasulullah S.A.W pernah bersabda bahawa; 'Ajar dan jadikan sesuatu itu mudah, jangan merumitkan atau menyukarkan sesuatu.  Jika kamu marah maka berdiam dirilah, jika kamu marah maka senyaplah, dan jika kamu marah maka diamlah'.  Imam Ahmad dan Al-Tirmizi meriwayatkan bahawa, Rasulullah S.A.W bersabda bahawasanya; ' Amarah itu ibarat arang yang membakar di dalam hati manusia, tidakkah engkau melihat kemerahan pada matanya dan pipinya yang mengembang?.  Jika seorang dari kamu melaluinya, biarkannya duduk.  Sebaik-baik manusia adalah  mereka yang dapat mengawal marah dan cepat memaafkan manakala seburuk-buruk manusia adalah mereka yang cepat marah dan susah untuk memaafkan.

Salah satu cara lain adalah dengan mengambil wuduk.  Diriwayatkan bahawa 'Atiyah Al-Sa'di berkata Rasulullah S.A.W bersabda bahawasanya; 'Marah itu datangnya dari Syaitan, dan Syaitan itu diperbuat daripada api dan api itu dapat dipadamkan dengan air, maka jika salah seorang daripada kamu marah, suruhlah ia mengambil wuduk' (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Dawood)
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Penemuan Saintifik
------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ilmu perubatan moden telah menemui beberapa perubahan fisiologi manusia apabila ia marah.  Kelenjar Adrenal yang terletak di atas buah pinggang kebiasaannya akan merembeskan 2 jenis hormon iaitu adrenalin dan noradrenalin.  Hormon adrenalin ini dirembes sekiranya terdapat tekanan emosi ataupun fisiologi berlaku pada badan seperti contoh ketakutan dan marah, ia juga dirembeskan ketika badan kekurangan gula.  Kedua-dua hormon ini kebiasaanya dirembeskan bersama-sama.  Rembesan hormon-hormon ini memberi kesan kepada denyutan jantung, dimana jantung akan berdenyut kencang dan tidak sekata; otot pada jantung akan menegang dan menggunakan banyak oksigen.  Kemarahan menyebabkan tahap kuantiti kedua-dua hormon ini meningkat, lalu mengakibatkan peningkatan pada denyutan jantung yang mana juga menyebabkan tekanan darah tinggi.  Oleh itu, tidak hairanlah doktor menasihatkan pesakit yang mempunyai penyakit tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan kencing manis agar lebih banyak bersabar dan kurangkan marah kerana marah boleh menyebabkan risiko penyakit yang dihadapi bertambah buruk.

Penemuan saintifik telah dibuktikan di dalam Harrison's Book of Medicine yang menyatakan bahawa jumlah kuantiti hormon noradrenalin di dalam darah meningkat 2 hingga 3 kali ganda jika berdiri selama 5 minit dan kuantiti hormon adrenalin meningkat sedikit ketika berdiri, tetapi sekiranya terdapat tekanan psikologikal dan emosi pada tubuh akan menyebabkan peningkatan besar pada paras hormon adrenalin dan noradranalin.  Bayangkan apa yang bakal berlaku sekiranya perasaan marah meluap ketika berdiri?.  Oleh sebab inilah Rasulullah S.A.W menasihati orang yang sedang marah ketika berdiri untuk duduk dan sekiranya tidak mampu juga untuk mengurangi marah tersebut, hendaklah ianya berbaring.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Mohon keampunan dari Allah S.W.T
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Salah satu lagi cara yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W ketika sedang marah adalah dengan memohon keampunan daripada Allah S.W.T kerana sesungguhnya marah itu adalah perbuatan dan campur tangan daripada Syaitan.

Diriwayatkan Sulaiman Ibn Surad berkata 'Aku duduk bersama Rasulullah S.A.W ketika sedang terdapat 2 orang bertegang leher.  Salah seorang daripadanya merah mukanya dan urat-uratnya timbul lalu Rasulullah S.A.W bersabda; 'Sesungguhnya aku tahu sepotong ayat, bilamana dilafazkannya, perasaan marah akan pergi. Lafazlah A'oodhu Billahi Min As-Shaitan ir-Rajeem (Aku berlindung dengan Allah S.W.T daripada Syaitan), maka perasaan marahnya akan hilang'.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Bukti Keajaiban Nabi Muhammad S.A.W
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Pengetahuan  Nabi Muhammad S.A.W adalah bukti keajaiban dan mukjizat yang hanya dapat dirungkai dengan penemuan saintifik moden.  Jika tidak bagaimana baginda sendiri dapat mengetahui terdapat 2 jenis hormon yang bertindakbalas ketika sedang marah dan boleh mempengaruhi atau memburukkan lagi keadaan pemarah.  Semoga Allah S.W.T merahmati setiap Nabi-nabi dan para Rasul yang telah diutuskanNYA.

----------------------------------------------Rumusan-----------------------------------------------------
Kini telah diakui bahawa perasaan marah boleh mengakibatkan seseorang itu menderita penyakit tekanan darah tinggi kerana otot-otot jantung bereaksi akibat daripada ransangan hormon adrenalin dan noradrenalin.  Telah dibuktikan bahawa orang yang kerap marah mempunyai peratusan mendapat penyakit tekanan darah tinggi, jantung dan kencing manis lebih daripada mereka yang kerap bersabar.

Oleh itu, sedikit sebanyak ambillah pengajaran daripada apa yang telah Nabi Muhammad S.A.W sampaikan dan ajarkan kepada kita.  Sesungguhnya apa yang dikatakan baginda ada hikmah dan kebaikkannya.  

Wallahualam.

Kredit gambar ; Happy To Inspire, Wikipedia