Pages

agoda.com INT TinyDeal INT Aliexpress INT TinyDeal INT Booking.com INT Lazada MY

(Palestin, Kiki dan MH17) Pengajaran dan Peringatan Dari Allah S.W.T Untuk Kita Semua

Assalammualaikum wbt. Telahpun masuk 20 Ramadhan. Genap 20 hari kita berpuasa. Jika diimbas 20 hari yang telah lalu pelbagai peristiwa, cabaran dann dugaan yang telah menimpa kita dalam bulan yang mulia ini.  Dimulakan dengan isu Palestin diserang tentera zionis Israel. Satu perang yang tidak berkesudahan sejak dari dulu lagi. Genjatan senjata yang diwar-warkan pun hanya lawak semata-mata. Mulanya setuju melakukan genjatan senjata selama 5 jam, tetapi tetap Palestin diserang dan dibom dari pesawat ataupun roket dari tentera Israel laknatullah. Isu yang selama ini menjadi isu utama bagi masyarakat Islam sedunia sekali lagi mencetuskan kebangkitan untuk menentang kezaliman dan penindasan yang dilakukan oleh tentera zionis Israel. Pernah mendengar satu ceramah daripada seorang ustaz yang katanya, isu kezaliman terhadap rakyat Palestin tidak akan tamat sehinggalah datangnya bantuan Nabi Isa a.s dan Imam Mahdi. Maknanya, isu ini bakal menjadi perkara yang paling lama dan panjang untuk diselesaikan. Namun, tidaklah ia membuatkan kita mengambil sikap tidak endah dan tidak peduli dengan beranggapan oleh sebab agama Islam akan menuju kebangkitan dan kemenangan satu hari nanti dan ianya telah dijanjikan, kita tidak mahu langsung membantu dan meringankan beban masyarakat disana.

Itula cabaran dan peluang untuk kita beramal dibulan yang mulia ini. Pelbagai NGO tampil kehadapan mengkoordinasikan bantuan kemanusiaan di Gaza, Palestin menerusi aktiviti sukarelawan yang dilaksnakan. Sumbangan melalui derma atau sedekah jariah amatlah dialu-alukan. Semoga dengan sedikit bantuan daripada kita itu nanti dapat meringankan beban mangsa kekejaman tentera Israel disana. Aku tengok dimasjid-masjid dan juga di pasar ramadhan ada saje wakil-wakil NGO ini yang melakukan kutipan. Namun AWAS!, ada juga manusia yang suka mengambil kesempatan diatas kesempitan saudara seagama kita. Mereka mengutip derma dan menggunakannya untuk keperluan peribadi.  Dimanakah nilai persaudaraan dalam diri kita? Daripada ingin memudahkan masyarakat Islam umumnya untuk bersedekah terpaksa pula mereka yang baik hati ini membuat screening dan penapisan terhadap wakil-wakil kutipan ini. Tidakkah ia menyusahkan? Jika anda masih ingin menderma boleh jenguk fanpage NGO Aman Palestin dan juga Aqsa Syarif.  Banyak maklumat disana yang boleh diperolehi.

Kedua, Isu KiKi Kamaruddin yang video tengking dan herdiknya menjadi viral ekoran tersebarnya di laman sesawang sosial Facebook.  Pada pendapat aku, sekali lihat pun memang sah perempuan itu telah melakukan kesalahan. Full Stop. Memang tingkah lakunya tidak elok dan jauh menyimpang daripada norma tatasusila kemelayuan. Sewajarnya ia diadili oleh pihak berkuasa dan bukannya Keyboard warrior. Yang memburukkan lagi keadaan adalah adanya segelintir yang sengaja ingin menambah perisa pada cerita ini dengan melakukan penyiasatan agar diri perempuan ini lebih terdedah kepada tatapan umum. Apakah motifnya? Untuk mengajar atau untuk menyeksa mental dan perasaan ahli keluarga wanita tersebut. Betul, Uncle Sim seorang katolik berjaya menunjukkan dirinya seorang penyabar dan Kiki yang seharusnya menampilkan akhlak seorang Islam gagal mengawal emosi lalu bertindak melampaui batas dan ianya keterlaluan.  Tetapi ianya tidak merumuskan seolah-olah semua orang Islam berperangai begitu dan semua orang beragama Kristian Katolik berperangai sebegitu juga. Agama tidak boleh dipersalahkan disini. Banyak perbezaannya. Apabila Uncle Sim sudi memaafkan dan tidak memanjangkan cerita, segelintir daripada kita suka dan ingin membesarkan lagi cerita dengan membuat pelbagai trol, tohmahan dan kata kejian. Adakah Islam mengajar kita sebegitu?  Adakah ada satu peristiwa di zaman Nabi Muhammad s.a.w yang baginda menyuruh para sahabat mengaibkan orang yang memusuhi baginda? Sedangkan baginda sendiri menghormati semua bangsa hatta bangsa Yahudi sekalipun.  Teringat kisah baginda dimana setiap hari baginda menyuap seorang wanita tua di pasar kerana diri wanita itu buta. Namun wanita itu selalu menyumpah dan mengeluarkan kata kejian terhadap baginda tanpa menyedari lelaki yang menyuapnya setiap hari adalah Nabi Muhammad s.a.w yang dia keji sehari-hari.  Apakah tindakan baginda? Sabar. Erti sabar dalam diri umat baginda akhir zaman sudah berkurangan agaknya. Selalu ingin meletakkan hukum atas tangan sendiri. Kita perlu menghormati sistem penghakiman yang diwujudkan oleh pemerintah. Sekiranya kiki bersalah, biarlah dia dihukum mengikut salurannya. Bukan dengan cara melakukan cyberbully dan mental harrassment. Ada pula berpendapat, jika kita tak gembar gemburkan isu ini ramai orang yang tidak tahu dan kemungkinan kiki tidak akan meminta maaf (ada lagi yang katanya, maaf kiki itu tidak ikhlas-macam dia tahu je ikhlas ke tidak), Allah s.w.t nak tunjukkan kat kita bahawa jangan bercakap besar dan sombong serta sebagainya. Berbagai-bagai pendapat yang memang tiada siapa pun boleh halang. Namun, lebih elok sekiranya kita mengutarakan pendapat setelah menilai dan meneliti hujah kita itu agar nanti kita tidak dipertanggungjawabkan didepan Allah s.w.t di kemudian hari.  Biarlah hujah dan pendapat itu memfokuskan kebaikan dan kemaafaan serta pengajaran positif yang boleh diperolehi. Bukan maki hamun secara membuta tuli.

Jika kita lihat dan teliti, Adakah Allah s.w.t ingin menutup aib wanita itu dengan menguji kita dengan satu lagi tragedi iaitu tragedi MH17 yang dilaporkan ditembak di kawasan negara Ukrain. Adakah Allah s.w.t nak kita jangan suka mengaibkan orang lalu diberinya satu lagi musibah yang hendak atau tidak kita perlu bersatu dan bersama menghadapinya? Semua dari kita terkesan dengan insiden terbaru ini bukan?. Sudahlah kes MH370 belum lagi diselesai, belum pun skuad sukarelawan Palestin berlepas memberi bantuan kita sekali lagi terpaksa berhadapan dengan satu lagi musibah.  Apakah semua ini tidak menyedarkan mata hati dan minda kita yang tiada siapa yang lebih berkuasa selain Allah s.w.t.  Jika dia ingin mengajar hambanya, sekelip mata sahaja Dia boleh lakukan. Jika dia ingin kita bersatu hati dalam erti kebersamaan yang sebenar, Dia boleh lakukan. Daripada yang kecoh menghukum dan sebagainya beralih arah pula bersimpati dan meratapi nasib MH17. Lihat. Ada pengajarannya disitu.  Sungguh. Sekiranya kita lebih sabar dalam apa jua keadaan, adakah ianya lebih baik? Pahala yang dijanjikan juga amat lumayan. Jika kita tewas, sia-sialah saja amal ibadah puasa kita. Minta dijauhkan dan amal ibadah kita diterima olehNYA. 

Apa yang pasti, ketiga-tiga bencana ini mengajar kita erti mahalnya sikap BERSABAR. Rakyat Palestin sentiasa BERSABAR, bersedia menghadapi segala kemungkinan dan tindakan daripada tentera zionis Israel. Isu Kiki menunjukkan kita wajar pertahankan sikap BERSABAR didalam situasi yang amat genting dan menguji rasional akal. Alangkah beruntungnya mereka yang dapat bersabar disaat-saat isu ini meledak. Tahniah jika anda dapat bersabar dan melakukan perkara yang betul dengan tidak 'menambah perisa pedas'. Dan tragedi ketiga mengajar kita BERSABAR secara total dan berserah diri kerana amat sedikit yang mampu kita lakukan untuk membantu mangsa terlibat. Direkodkan bahawa kemungkinan hampir kesemua mangsa maut dalam kejadian tersebut.  Ianya mengajar kita untuk redha dalam apa jua keadaan dan sentiasa beringat kita adanya tuhan dan Allah s.w.t adalah sebaik-baik tempat bergantung.

Jadi sahabat, marilah kita amal sunnah Rasullullah s.a.w yang satu ini iaitu sentiasa BERSABAR. InsyaAllah Malaysia akan kembali bersih dan harmoni seperti yang sepatutnya. Amin

1 comment:

  1. ada juga dengar di berita radio tentang gencatan senjata 5 jam tu..semoga misi penyelamat ke sana selamat pergi dan pulang..

    ReplyDelete