Pages

agoda.com INT Lazada MY

(Tips) 7 Tips Mudah Untuk Lebih Berjaya Dalam Bisnes Online

Tips ini mungkin telahpun diaplikasi oleh sebilangan daripada kita lebih-lebih lagi mereka yang berkecimpung dalam perniagaan secara online. Trend perniagaan online ini makin menjadi-jadi.  Seperti cendawan yang baru tumbuh selepas hujan. Terbuktilah dengan berniaga secara online, kita boleh meraih hasil yang lumayan jika tidak, berapa kerat sahaja yang berani mengambil risiko untuk berniaga secara online.  Risiko? Mungkin tiada atau tersangat minimal barang kali. Itu sebab pelbagai perniagaan online boleh bertapak dan bertahan.

Jika kita ada menyimpan impian untuk menjadi tauke perniagaan online, ada beberapa syarat yang perlu kita miliki dan amalkan.
Benar, dalam dunia perniagaan mana mungkin semuanya bermula dengan mudah. Hanya sikap yang tidak mengenal erti mengalah sahaja yang mampu mengharungi pelbagai dugaan dan cabaran di dalam dunia perniagaan yang begitu ramai persaingan.  Lebih-lebih lagi jika produk yang kita jual atau promote tersebut boleh ditiru dan dijual oleh orang lain. Entri kali ini ingin berkongsi tips berkenaan dengan bagaimana kita perlu ada sikap untuk berubah dan sentiasa mengadaptasi situasi semasa agar kita mampu bertahan dalam bisnes yang kita lakukan.

Benar, ramai peniaga yang 'jatuh cinta' dengan produk yang mereka jual. Mereka beranggapan bahawa produk mereka lah yang paling baik, mujarab, berkesan atau berguna sekali berbanding dengan produk-produk yang lain di pasaran.  Perasaan jatuh cinta ini boleh memerangkap kita dalam mengetahui kehendak pelanggan atau bakal pelanggan kita yang sebenarnya.  Mungkin pelanggan tidak beranggapan sedemikian terhadap produk kita. Mungkin mereka pernah atau tahu akan produk lain yang lebih mantap, murah dan berkesan. Oleh hal yang demikian, adalah sukar untuk kita bertahan dalam bisnes jika produk kita mudah untuk ditiru dan tiada keistimewaan berbanding dengan produk lain.

Lalu bagaimana langkah yang perlu kita ambil?

Caranya mudah sahaja. Ianya lebih kepada pemikiran logik akal atau 'common sense' sahaja.

1. Jika kita mengarang surat jualan atau sales letter, pastikan ayat-ayat jualan tersebut adalah apa yang pelanggan mahu baca. Jangan terlalu mengagung-agungkan produk anda tidak bertempat. Ringkas, tepat dan padat. 

2. Jika kita ingin mengarang isi maklumat dalam website perniagaan kita, kita hendaklah memastikan maklumat hasil penulisan kita adalah apa yang pelanggan inginkan.  Sedar apa kehendak mereka.  Jangan syok sendiri.

3.  Jika kita hendak melakukan pengiklanan, maka laksanakannya mengikut prospek target kita.  Sebagai contoh jika kita pemilik butik tuding online, kita sasarkan pada pelanggan wanita muslim berumur daripada 17 hingga 40-an. Maka iklan-iklan kita sudah fokus pada satu-satu sasaran pelanggan yang mungkin akan membeli tudung kita.

4.  Adaptasi dengan keadaan dan trend sekeliling.  Ianya memerlukan teknik kepekaan yang tidaklah begitu tinggi atau mendalam, hanya perlu melihat pola-pola atau corak perubahan yang ada disekeliling kita. Kebiasaannya pola-pola ini mungkin bermula daripada penampilan artis-artis pujaan ataupun konsep terkini yang sangat berinovasi. Sebagai contoh, jika dulu ramai yang sukakan tudung bawal, sekarang mungkin sudah berkurangan penggemarnya, mereka sudah beralih arah kepada tudung rekaan moden seperti AALIA ataupun FAREEDA. Maka, janganlah pula kita terlepas peluang untuk sama-sama berubah dan berinovasi.

5.  Kita perlu kreatif.  Kreatif disini sungguh subjektif.  Mungkin kita perlu besarkan jaringan kenalan kita.  Perlu lakukan strategic networking dengan rakan pelabur, pemegang saham, bakal agen dan juga sebagainya. Maka, hendak atau tidak, kita perlu menghadiri seminar-seminar dan berkenalan dengan semua pemain industri yang kita sertai. Dengan cara itu, kita boleh sedar akan kekurangan kita dan juga kita boleh sense pola atau trend semasa. 

6.  Lakukan analisa dan review terhadap pencapaian perniagaan kita.  Sebagai contoh, setiap transaksi jual beli dengan pelanggan haruslah kita rekodkan. Dan diakhir bulan atau tahun kita boleh membuat pengiraan statistik ringkas untuk mengetahui graf kemajuan bisnes kita. Daripada analisa ini, kita mampu untuk menambah baik servis dan perkhidmatan yang kita boleh berikan.

7.  Jadikan pekerjaan ini sebagai hobi. Kita mungkin akan lebih bermotivasi dan berdedikasi untuk bekerja seharian bila kita sedar bahawa kerja kita itu umpama hobi yang kita gemar lakukan. Maka setiap pahit jerih yang datang bersamanya tidak mudah untuk buat kita kecewa dan berputus asa.

Sebenarnya banyak lagi tips yang bermanfaat dan senang diaplikasikan.  Tapi cukuplah 7 tips untuk kali ini.  Kalau banyak-banyak nanti takut tak terbaca dan tak terbuat.  

p/s:  Sekiranya tips ini dapat membantu anda dan rakan kenalan anda yang juga mungkin dalam bisnes online. Dipersilakan kongsi. Salam kejayaan buat kita semua.

No comments:

Post a Comment