Pages

agoda.com INT Lazada MY

(Tips-sharing) Bagaimana Caranya Memilih Produk Kesihatan Yang Berkesan Mengikut Bukti dan Kajian Secara Klinikal

Assalammualaikum wbt. Alhamdulillah, sudah semakin hampir kita menuju hari raya Aidilfitri. Agak-agaknya apakah persediaan kita dalam menyambut perayaan kali ini memandangkan kini Gaza sedang diserang dan tragedi MH17 masih belum dimuktamadkan. Kita berdoa agar semua perkara yang berlaku ini mampu mendidik kita untuk lebih mengenali Sang Pencipta yakni Allah SWT. Amin.

Kali ini aku ingin kongsikan tips yang begitu penting untuk kita faham dan ketahui memandangkan ianya melibatkan penjagaan kesihatan kita. Mungkin bukan diri kita yang sakit, tetapi pada masa hadapan ketika kita sudah berusia, adakah kita yakin kita masih kekal sihat? Atau simply, saudara mara kita yang sedang sakit sekarang. Mungkin dengan sedikit ilmu yang di kongsikan ini dapat memberi sedikit gambaran yang jelas bagaimana caranya penjagaan kesihatan yang sering diamalkan oleh pengamal-pengamal perubatan bertauliah seperti doktor, ahli farmasi, staf nurse dan sebagainya.  Langkah-langkah penjagaan kesihatan yang sering diaplikasikan oleh pengamal perubatan semuanya adalah berdasarkan
kepada prinsip 'Evidence Based Medicine'.

Apakah itu Evidence Based Medicine (EBM)?

Mengikut takrifan daripada Sackett DL et al dalam  bukunya yang berjudul 'Evidence Based Medicine- How to practice and teach EBM' keluaran dan terbitan Churchill Livingstone, EBM is defined as 'the INTEGRATION of best research evidence with clinical expertise and patients values'. Dalam bahasa yang mudah, EBM ini adalah praktis mengintegrasikan bukti kajian yang terbaik (kajian terhadap ubat-ubatan atau supplemen) dengan kepakaran klinikal dan nilai kepada pesakit. Ianya melibatkan cara yang sistematik dalam menyelesaikan masalah pesakit. EBM juga adalah praktis berterusan yang berpandukan bukti kajian semasa. Oleh yang demikian, sedikit sebanyak kita sedar bahawa setiap keputusan yang dibuat oleh doktor mahupun pengamal perubatan yang lain adalah berdasarkan bukti kajian dan praktis amalan penjagaan kesihatan yang terbaik. Bukan sekadar pengalaman semata-mata. Konotasi yang mudah adalah setiap pandangan doktor atau sesiapa sahaja yang melibatkan sebarang keputusan terhadap penjagaan kesihatan terhadap diri pesakit tanpa berdasarkan kajian keberkesanaan dan effikasi sesuatu ubat atau supplemen boleh mengundang kecelakaan atau musibah seperti kesan sampingan yang seterusnya menjadi punca mengapa pesakit di masukkan ke dalam wad.  Daripada ingin menjadi lebih sihat, kini menjadi lebih sakit dengan terpaksa menerima rawatan yang lebih komplikated dan kadangkala boleh menyebabkan kematian ekoran kegagalan organ seperti buah pinggang mahupun hati.

Mari kita lihat carta peringkat evidence (bukti kajian saintifik) yang menjadi rujukan atau base terhadap sesuatu keputusan yang wajib dibuat oleh pengamal perubatan dalam memberi perkhidmatan penjagaan kesihatan terhadap pesakit.

Klik gambar untuk lebih jelas


Penerangan.

Kebiasaannya setiap keputusan yang dibuat oleh pengamal perubatan adalah berdasarkan kepada level of evidence seperti pada gambarajah di atas. Di puncak gambarajah piramid tersebut adalah level bukti yang paling baik kerana bukti yang diperolehi adalah daripada proses systematic review terhadap pelbagai kajian yang mengkaji effikasi (keberkesanan), keselamatan, kadar toksik, kesan sampingan, optimum dos serta bermacam-macam lagi skop kajian yang kebiasaannya dibuat secara Randomized Controlled. Dalam erti kata mudah, kajian secara randomized controlled ini akan dipilih mengikut objektif kajian (systematic review) dan dilakukan critical appraisal agar sebarang ralat mahupun kelemahan dapat diminimumkan atau dielakkan.

Siapa yang buat randomized controlled trials? Ok, Randomized Controlled Trials (RCT) kebiasaannya dilakukan oleh penyelidik makmal R&D ataupun pusat-pusat kajian yang bertauliah untuk membuat ujikaji terhadap sebarang penemuan inovasi ubat-ubatan yang baru untuk mengkaji keberkesanan dan keselematannya sekiranya dipasarkan kelak.  Kenapa RCT? RCT adalah salah satu jenis kajian dalam bidang pharmacoepidemiology yang paling kurang bias atau ralat. Dan ianya adalah salah satu jenis kajian yang melibatkan intervensi terhadap sampel kajian. Intervensi disini adalah bermaksud kita test sampel yang setuju untuk mengikuti kajian ini dengan ubat yang hendak kita nilai (ubat baru atau ubat yang ingin dikaji) lalu dibandingkan dengan satu lagi kumpulan sampel yang mungkin hanya diberikan placebo atau ubat yang hendak kita bandingkan.

Pening? haha...

Cohort, case control, case series adalah jenis-jenis kajian yang lain yang memiliki kelebihan dan juga kelemahan yang tersendiri.

Pendek kata, jika sesuatu produk itu ada kajian secara systematic review, maka kita boleh yakin bahawa produk tersebut sememangnya berkesan dan selamat. Jika buktinya hanya sekadar level 2 dan ke bawah, maka precaution dalam menggunakan ubat tersebut perlu diambil.

Ok, back into realiti. Sekarang ini banyak produk yang dijual di facebook mahupun laman sosial yang lain. Nampaknya pemasaran secara online ini dapat menarik minat ramai dan ramai yang yakin dengan hanya testimonial-testimonial yang digunakan atau dipromosikan.  Kalau nak diikutkan dalam carta level of evidence kat atas tu, testimonial ini adalah yang paling terendah sekali ataupun langsung tiada sebabnya level 6 tersebut masih melibatkan 'Expert Opinion'. Sekiranya ada 'expert' atau doktor pakar yang syorkan penggunaan supplemen atau ubat-ubatan tertentu yang melalui pengalaman beliau terbukti berkesan, maka baru boleh digunakan. Perkara ini sangat subjektif kerana masyarakat kita bukan masyarakat yang membudayakan aktiviti pelaporan kesan sampingan terhadap supplemen atau ubat yang mereka makan.  Mereka lebih suka mendiamkan diri, atau memberhentikan terus dari mengambil ubat dan supplemen tanpa pengetahuan doktor.  Inilah punca mengapa penyakit yang dialami tidak dapat dikawal atau disembuhkan. Masyarakat kita perlu melapor sebarang gejala atau kesan sampingan yang mereka alami kepada pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan seperti Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan ataupun kepada  doktor-doktor yang merawat mereka.  Dengan cara ini, satu database tentang kesan sampingan tersebut dapat dikumpulkan dan dianalisa agar sebarang produk yang terlibat dapat diambil tindakan yang sewajarnya.

Website INI mungkin dapat membantu anda membuat laporan terhadap sebarang kesan sampingan yang dihidapi oleh diri atau ahli keluarga anda. 

Bukan mudah dan cepat untuk sesuatu produk yang berkesan itu dipasarkan. Ianya melibatkan tempoh masa lebih kurang 15 tahun dengan pelbagai peringkat kajian klinikal yang perlu dilaksanakan. 

Fasa-fasa dalam Kajian Klinikal

Secara mudahnya terdapat 4 fasa dalam satu-satu kajian klinikal, fasa pertama melibatkan kajian atau trial terhadap manusia yang sihat (tanpa penyakit) hanya semata-mata untuk menilai keselamatan penggunaan ubat tersebut. Ideanya ialah, sekiranya sampel yang sihat pun boleh mengalami kesan sampingan mahupun kesan toksik, maka bagaimana pula kesan sampingan yang mungkin dialami oleh golongan sasaran (pesakit) yang memerlukan ubat tersebut dalam tempoh masa yang panjang.

Fasa kedua adalah peringkat kajian dilakukan terhadap pesakit yang disasarkan. Ianya lebih untuk menilai tindakbalas dan kesesuaian bentuk farmaseutikal sesuatu ubat tersebut. Sekiranya didapati sesuatu bentuk farmaseutikal (kapsul, tablet, kaplet atau sebagainya) tidak sesuai, maka kemungkinan akan diubahsuai kepada bentuk yang lebih mencapai target keberkesanan yang diingini.

Fasa ketiga adalah fasa untuk mengesan effikasi dan kesan sampingan. Walaupun ini adalah fasa untuk mengesan dan menilai kesan sampingan yang mungkin dihasilkan tetapi sampel yang terlibat adalah sedikit dan tidak boleh digeneralizekan. Maka itulah pentingnya peringkat fasa 4 iaitu post marketing surveillance dimana evalusai klinikal secara meluas dan sebenar diperlukan. Dan ianya semestinya melibatkan kerjasama semua pihak iaitu bermula daripada pengamal perubatan, pesakit dan juga pengeluar produk tersebut.

Akhir kata, sebagai ahli farmasi bertauliah..sedikit sebanyak aku dah ceritakan dan maklum kepada semua pembaca. Diharapkan ilmu ini bermanfaat dan boleh dikongsikan agar mutu penjagaan kesihatan di Malaysia ini lebih baik dengan perubahan sikap dan kefahaman dalam sesuatu isu itu.

Jadinya, jika anda beli supplemen atau ubat-ubatan hanya berdasarkan testimonial penjual atau peniaga, anda fikirlah sendiri kesan yang mungkin anda dapat dikemudian hari. Melalui pengamatan dan perbincangan dengan doktor pakar nefrologi tempat aku pernah bertugas dulu, banyak kes yang dirawat adalah kes kegagalan buah pinggang atau organ yang disebabkan oleh pengambilan produk-produk yang tidak melalui peringkat kajian seperti yang dibincangkan.

Apa-apapun, tiada kuasa melainkan Allah SWT. Sekiranya Allah SWT berkehendakkan sesuatu itu, dengan hanya makan kurma, susu dan madu itu sahaja mampu memberikan kesihatan kepada tubuh badan. Pendek kata jagalah perut kita semua, sebabnya dari perutlah pelbagai penyakit datang. Wallahualam.


4 comments:

  1. terima kasih perkongsian ni bro. panjang sikit tapi berguna.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itula. Kalau pendek lagi tak phm nanti :p

      Delete
  2. Bukan senang kan nak tentukan sesuatu perkara..ramai yang buat tak kesah je tentang kesihatan..bila dah sakit mula la..huhu

    ReplyDelete