Pages

agoda.com INT Lazada MY

Episod Wak Shahir di Tanah Suci Makkah.

Entri ini adalah lanjutan daripada peristiwa Suka Duka Ujian Bersama Wak Shahir di Madinah.

Recap. Wak memang ada masalah keyakinan diri. Sering rasa tidak percaya akan kebolehan diri. Mungkin juga self-esteem yang rendah. Namun, semua itu hanya terjadi di Madinah. Memang aku agak kehairanan bilamana jemaah kami KT 4 bergerak ke Makkah, sangkaan aku Wak juga akan seperti dirinya di Madinah.  Namun, daripada sebilik 4 orang. Di Mekah akan sebilik dengan 10 orang jemaah. Maknanya akan ada 6 sahabat haji yang baru.

Aku seperti biasa, lebih mengutamakan kebajikan mak dan adik. Sambil-sambil tu sahaja akan bertanyakan keadaan Wak sekiranya dia perlukan pertolongan. Satu sikap Wak yang aku nak ulas panjang sikit yang sebenarnya mengajar aku erti kehidupan adalah sikap penyabarnya yang sangat tinggi dan juga sikap rendah dirinya yang ketara. Mungkin sebab beliau berasal daripada desa dan bekerja di lapangan ladang kelapa sawit membuatkan beliau sebegitu. Sedikit sebanyak, aku ingin jadi penyabar dan rendah diri seperti beliau. Dalam masa aku 'membantu' Wak untuk handle masalah kurang keyakinan dirinya, aku try belajar perkara positif yang dia ada yang aku lihat dari pemerhatian aku. In a way, aku buat begitu supaya aku rasa bukan aku sahaja yang mengajar, bahkan aku juga ingin belajar.

Perjalanan ke kota Makkah memang mengambil masa yang agak lama, banyak check point yang perlu dilalui, banyak juga pekerja kecil meminta sedekah katanya selepas memberikan kami air zam zam di setiap check point. Masih lagi teringat, dari pemandu bas, pekerja kecil di check point, hentian rehat dan rawat di padang pasir, tentunya akan ada yang meminta sedekah. Ada juga diberikan kesempatan untuk bersedekah. Memang gelagat dan aksi di Tanah Suci memang begitu agaknya. :)

Dari tempat duduk aku dan adik, aku hanya perhatikan Wak dan Isteri, Mak dan adik Wak duduk satu seat (2 kerusi) yang sama. Sampai sahaja di Land Premium Hotel, jemaah memasuki bilik hotel. Maka, bertambahlah sahabat baru. Yang memang banyak cerita dan pengalaman bersama mereka. 

Uniknya Wak di Tanah Suci Makkah tidak lagi seperti di Madinah. Sudah boleh mundar mandir ke sekeliling kawasan sekitar seorang diri. Sudah yakin ke Masjidil Haram seorang diri. Aku sedikit pelik. Sedangkan tempat terletaknya hotel Land Premium dari Masjidil Haram adalah jauh dan pada aku lebih mencabar berbanding dengan Hotel Movenpick dengan Masjid Nabawi. Turun-turun sahaja hotel Movenpick dan sampai pintu masuk Masjid Nabawi. Di Makkah, nak kena menapak dalam 1 km juga ke Masjidil Haram. Dengan suasana berdebu, kereta yang sesak, bising hingar peniaga disetiap kedai berurus beli, dan ketika itu kerja merobohkan bukit dan sebahagian hotel di belakang Hotel Menara Jam itu sedang giat berlangsung.

Wak dengan selambanya pergi dan balik tanpa minta pertolongan daripada aku lagi. Kagum. Syukur kepada Allah SWT. Akhirnya aku rasa usaha aku berbaloi dan mungkin Allah ingin berikan aku ujian yang lain pula. Atau mungkin Allah berikan aku sedikit kesempatan untuk merasai nikmat 'bersendirian' beribadah kepadaNYA sebelum datang lagi ujian dariNYA. Memang benarpun, selepas Wak berjaya mengatasi masalahnya, aku berkesempatan untuk membantu Pakcik Ahmad dan Ustaz dalam menyempurnakan ibadah rukun haji mereka. Subhannallah. Memang aku rasa kerdil. Aku ingatkan aku akan jadi pembantu ibuku yang setia disini, namun Allah kurniakan nikmat dan rezeki kesihatan kepada ibuku dan adik sepanjang ibadah haji kami, dan ibu juga turut sama-sama membantu menyempurkan ibadah haji Pakcik Ahmad dan isteri (80 tahun) dan seorang ustaz. Cerita mereka pun masih aku ingat dengan jelas. 

Pernah aku berseloroh kepada Wak, 'Wak, nampaknya Wak dah yakin sekarang, tanpa perlu saya escort Wak lagi, tapi kenapa di Masjidil Haram jadi begini tidak bermula di Masjid Nabawi?'

Wak jawab; ' Alhamdulillah, syukur kepada Allah sebab berikan rasa 'bebas' dalam hati dan yakin untuk melalui detik-detik indah ini di Makkah dengan usaha sendiri. Syukur Allah berikan pertolongan. (sambil Wak menangis). Tapi sepanjang hidup Wak, memang Wak tak pernah jumpa orang muda macam Halif. Sanggup bagi nasihat pada Wak dan cakap perkara yang betul walaupun pahit untuk orang seusia Wak dengar. Wak syukur sangat-sangat'...

Aku memang tak boleh part-part yang macam ni. Memang aku akan potong cepat-cepat. Aku katakan kat Wak, anggap sahaja ini ketentuan Allah. Jika aku tak tolong Wak, mungkin ada jemaah lain yang akan bantu. Sebab semua jemaah ke Tanah Suci memang inginkan haji yang mabrur. Semua jemaah akan usaha untuk dapatkan haji yang mabrur. Mungkin antara kriteria untuk dapat haji yang mabrur itu adalah dengan mempermudahkan urusan jemaah yang lain. Tolong menolong dan nasihat-menasihati dalam perkara yang baik. Jika aku ambil pilihan untuk jaga tepi kain aku seorang sahaja, mungkin Allah terhadkan kekuatan aku di sana, lantas langsung tak dapat menimba pengalaman dan nikmat 'beribadah' kepadaNYA. Ini juga salah satu ibadah.

Wak senyum. Perkara yang buat aku terharu adalah setiap kali aku balik dari Masjidil Haram seusai Subuh, Wak pasti akan belikan aku sarapan sehinggakan aku kata jangan lagi beli sebab ibuku juga akan beli untuk aku. Memandangkan Wak mungkin boleh gunakan duit tersebut untuk ole-ole saudara mara ataupun untuk perkara lain. Aku katakan yang aku tolong bukan hendakkan balasan.

Indah sungguh kenangan di Tanah Suci, seakan semua perkara boleh dijadikan cerita. Sebab setiap saat yang berlalu itu pasti akan ada hikmahnya. Di Tanah Suci Makkah aku sebilik dengan seorang Pakcik yang telah bersama isterinya lebih dari 50 tahun. Romantik masih utuh. Aku banyak belajar dari sikap ini. Dan aku teringin untuk jadi sebegitu. Enjoy your life dengan cinta hati (isteri) selama mungkin. Dan aku juga banyak belajar dari seorang Ustaz yang sebenarnya telah mengerjakan haji sebanyak 6 kali sepanjang hidupnya, dan hajinya pada 1434H membuatkan airmatanya menitik. 

Dan untuk lihat orang menitikkan air mata sebab pertolongan kita yang tak seberapa membuatkan aku faham yang jika aku menangisi kesyukuran akan nikmat yang Allah telah berikan kepada aku masih belum cukup untuk membalasnya. Kita perlu hidup dengan keadaan itu kerana kita adalah hambaNYA.

Apa-apapun pengalaman yang aku telah lalui, hanya ucapan Alhamdulillah sahaja yang layak aku ucap. Memang terasa diri ini amat kerdil. Wallaualam

1 comment:

  1. Ya Allah... Bestnya cerita Wak dari entry lepas.. Bestnya juga cara Allah nak bagi pahala. Teringinnya nak jejak kaki juga buat umrah/haji. Semoga ada rezeki suatu hari nanti :)

    ReplyDelete