Pages

agoda.com INT Lazada MY

Setiap Hari Adalah Peluang

Salam untuk semua. Semoga semuanya baik-baik sahaja. Waktu kanak-kanak mengajar kita untuk bergembira, waktu remaja pula mengajar untuk menjadi lebih matang dan zaman dewasa sentiasa menuntut kita supaya bertanggungjawab terhadap apa yang kita lakukan. Semua orang perlukan kerja kerana dari kerjalah punya pendapatan dan rezeki terhadap diri dan orang-orang disekeliling kita.

Ramai yang memilih kerja dan ada juga yang terpaksa kerja untuk menyara diri sendiri. Walaupun kita berbeza pendapat dan pandangan, kita tetap adalah manusia yang hanya hidup di muka bumi ini sementara sahaja. Kita perlulah mencari ‘saat’ dimana kita boleh berasa kita ini manusia.

Tuhan sentiasa beri kita peluang. Peluang yang bagaimana? Peluang untuk memperbaiki diri. DIA bagi masa. Itulah yang paling berharga. Bukannya wang ringgit, kekayaan mahupun darjat. Sebab DIA tahu, hamba-hambanya ini bukanlah maksum. 24 jam masa diperuntukan setiap hari. Sehinggakan ada manusia bosan disebabkan kerjanya membuat perkara yang sama setiap hari.

’Ah, dah tak guna nak hidup lagi, semuanya rasa membosankan. Buat benda yang sama berulang-ulang setiap hari’ . Seringkali kita dengar luahan rasa ini daripada mereka yang sudah putus harapan. Tetapi, tidakkah kita sedar yang DIA telah beri kita masa untuk perbaiki diri kita. Dan itulah ’kerja’ utama kita yang sebenarnya. Blogging?Doktor?Peguam?Pemain Bola Sepak? – semuanya tidak terbanding dengan kerja kita untuk menjadi yang lebih baik dari semalam.

Aku bukannya baik sangat. Dan kadangkala terkandas juga atas desakan you-know-who. Tapi aku sentiasa terfikir yang DIA sentiasa sayangkan hamba-hambanya. Diberi peluang untuk mereka berubah. Diberi peluang untuk mereka merasai yang mereka ini manusia. Tapi masih ada yang ingin meninggalkan dunia ini disebabkan sudah rasa bosan dengan kehidupan.

Bosan sebab apa? Bosan sebab gagal dalam perlumbaan dunia. Apabila tewas, sudah rasa diri tidak bermakna. Bosan sebab pernah melakukan kesalahan besar? Hey adik, semua orang pun pernah melakukan kesalahan. Yang kecil dan juga maha besar. Tapi itu bukan alasan yang kuat untuk kita tinggalkan dunia ini.

Aku sedih bila bertemu dengan orang-orang sebegini. Aku malu dengan sikap yang sebegitu. Mereka tidak sedar yang dunia ini bukan semata-mata kutukan dan hinaan manusia. Itu pilihan mereka. Biarlah berlaku jika kita tak terdaya nak halang. Cuma mereka harus sedar, yang dunia ini hanyalah untuk kita hargai dan gunakan. Cari ’saat’ itu dimana kita boleh sedar yang diri kita bukan keseorangan. Jangan mudah mengalah dengan ’desakan’ kehidupan yang tidak menentu ini.

Cari diri anda sendiri. Cari tujuan utama anda dihidupkan setiap hari. Jom jadi yang lebih baik dari semalam.

No comments:

Post a Comment